HUD-HUD

Menjelajah angkasaraya, Menerobos sempadan awan, Meruntuhkan tembok atmosfera -Pemburu-syuhada-

Friday, November 6, 2009

Teladan Dari Kisah 'Al-Faruq'

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum w.b.t.

Kisah ini diambil daripada blog seorang sahabat (walaupun tak pernah bersua...) sebab terjumpa dalam blog. Ala... saudara seIslam la jugak. :-)

Saidina Umar merupakan seorang yang sangat disanjung tinggi oleh kaum arab Jahiliyyah sebelum beliau memasuki Islam. Ke mana-mana sahaja beliau pergi, orang Jahiliyyah pasti akan menghormati beliau.

Suatu hari, Umar menyatakan hasratnya untuk memeluk agama baru yang dibawa oleh seorang Quraisy yang bernama Muhammad b Abdullah atau Rasulullah s.a.w. Apabila beliau menyatakan hasratnya kepada sahabat Jahiliyyah beliau, lantas mereka semua memusuhi Umar. Mereka telah menganggap Umar telah berpaling tadah. Sehinggakan sahabat beliau yang paling rapat sekali dengan beliau pada ketika itu merupakan orang yang paling membenci kepada beliau.

Oleh itu, orang-orang arab Jahiliyyah pun merancang untuk mengeluarkan semula Umar daripada agama baru itu. Mereka mengetahui bahawa Umar ini merupakan sseorang yang sukar untuk mengubah pendiriannya. Apabila ada sahaja orang yang hendak menghalang hasratnya, nahaslah orang itu. Jadi, orang Jahiliyyah mencari jalan yang dapat menganiaya Saidina Umar.

Akhirnya pada suatu masa, salah seorang daripada mereka mendapat idea untuk menganiaya Saidina Umar yang pada ketika itu menjadi Khalifah. Mereka memberikan suatu air minuman yang kelihatan seperti biasa tetapi dimasukkan bahan yang memabukkan dalam air itu. Lalu air itu diberikan kepada anak Saidina Umar yang bernama Ubaidullah bin Umar.

Selepas itu, orang arab Jahiliyyah mendatangkan seorang wanita Yahudi kepada Ubaidullah yang berada dalam keadaan mabuk itu. Lalu berlakulah perzinaan antara perempuan Yahudi itu dengan Ubaidullah yang sedang mabuk. Setelah sebulan selepas kejadian itu, perempuan Yahudi itu mengandung.

Selepas sebulan itu, perempuan itu bertemu dengan Saidina Umar selepas solat Subuh.

“Wahai Amirul Mukminin! Aku ada pengaduan yang hendak dilaporkan kepada kamu. Mahukah kamu menerima pengaduan aku yang benar ini?” kata perempuan Yahudi itu.

“Jika pengaduanmu itu benar maka khabarkanlah kepadaku”

“Wahai Amirul Mukminin! Lihatlah aku sedang mengandung. Dan anak yang ku kandungkan ini ialah cucumu. Anak kepada Ubaidullah, anak kamu. Dia telah berzina denganku”

Saidina Umar terkedu.

“Wahai wanita Yahudi, jika benar dakwaan kamu itu maka datanglah kamu besok pagi selepas subuh ke Masjid Nabawi”

Saidina Umar telah menjadikan satu bahagian daripada Masjid Nabawi sebagai mahkamah untuk perbicaraan kes tersebut.

Wanita Yahudi itu bersetuju lalu beredar.

Saidina Umar berjalan pulang ke rumah dengan keadaan yang sebak. Apabila beliau tiba di rumah, beliau menyuruh isterinya memasak makanan yang paling sedap pada hari itu. Isterinya terkejut.

“Wahai suamiku, bukankah kamu selalunya menyuruhku memasakkan makanan yang tidak terlalu sedap kerana risau akan rakyatmu yang tidak dapat makan? Bukankah kamu sering risau terdapat dalam kalangan rakyatmu yang tidak dapat menikmati makanan yang sedap? Adakah hari ini terdapat tetamu atau orang kenamaan daripada negara lain yang hendak mengunjungimu dan makanan ini sebagai hidangan untuk mereka?”

“Isteriku, hari ini tiada tetamu yang akan mengunjungi aku. Tetapi masaklah dengan sedap kerana hari ini kita akan makan bersama-sama satu keluarga beramai-ramai.”

Isterinya menuruti perintah Umar lalu terus memasak makanan yang sedap mengikut kehendak Umar.

* * * *

Apabila tiba waktu makan, Umar menjemput kesemua anak-anaknya makan bersama-sama dalam satu bulatan yang besar. Ubaidullah dipersilakan duduk bersebelahan Umar maka isteri Umar disebelah kiri. Lalu Saidina Umar mempersilakan mereka makan. Umar memberikan penuh perhatian kepada Ubaidullah. Meraka makan dengan penuh selera dan Saidina Umar bergurau senda bersama-sama keluarganya dengan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Apabila beliau melihat makanan anaknya semakin habis, Umar mempelawa Ubaidullah menambahkan makanannya lagi. Ubaidullah berasa hairan dengan tingkah laku ayahnya.

“Wahai ayah mengapa ku lihat tingkah lakumu berbeza sedikit hari ini?”

“Wahai anakku, makanlah sepuas-puasnya anakku. Mungkin ini kali terakhir kita dapat berasa makan beramai-ramai begini”

Ubaidullah kehairanan.

“Wahai ayah, mengapa ayah berkata begitu. Seakan-akan ada seseorang dalam kalangan kita tidak akan bertemu lagi. Adakah salah seorang dari kita akan meninggal dunia?”

“Anakku, kalau ayahanda bertanya bolehkah anakanda berkata benar demi Allah dan Rasul-Nya?”

“Demi Allah dan Rasul-Nya, anakanda akan berkata benar”

“Anakku………… Benarkah kamu pernah berzina dengan seorang wanita Yahudi wahai anakku?”

“Sungguh ayah! Perkara itu mungkin terjadi ketika anakanda berada dalam keadaan tidak sedar (mabuk). Kejadian ini mungkin berlaku sebulan yang lalu kerana pada waktu itu anakanda diberi minuman oleh beberapa orang. Selepas minum air itu baru anakanda sedar bahawa air itu telah diletakkan bahan yang memabukkan. Rupa-rupanya inilah yang terjadi ketika anakanda sedang mabuk itu.”

“Oleh itu anakanda, esok hadirkanlah dirimu ke Masjid Nabawi selepas Subuh.” kata Umar kepada anaknya.

“Baiklah Ayah”

“Ubaidullah, adakah kamu akan sedia menerima keputusan yang akan dibicarakan esok. Walaupun jika ianya tidak berpihak kepada kamu?” tanya Saidina Umar.

“Demi Allah dan Rasul-Nya, anakanda sedia menerima apa sahaja keputusan yang akan diputuskan oleh ayah esok” balas Ubaidullah.

* * * *

Keesokan harinya di Masjid Nabawi selepas solat Subuh.

Ramai penduduk Islam, orang arab kafir dan Yahudi berkumpul untuk menyaksikan perbicaraan Saidina Umar sebagai hakim terhadap anaknya Ubaidullah sebagai tertuduh. Umat Islam sendiri ragu-ragu dengan kekarismaan Saidina Umar. Dalam benak hati mereka “Mampukah Umar menjatuhkan hukuman kepada anaknya?”. “Beranikah beliau menghukum anaknya sendiri?”.

Sementara orang-orang arab kafir dan Yahudi bersorak kegembiraan dalam benak hati mereka “Umar sudah tewas!”, “Umar tidak berani menghukum anaknya dengan hukum Islam!”, “Kita berjaya melemahkan Umar!”.

Perbicaraan bermula.

Saidina Umar memebacakan pertuduhan terhadap Ubaidullah (anaknya). Mahkamah begitu sunyi pada waktu pertuduhan itu dibaca.

Selepas pertuduhan dibaca, mahkamah sekali lagi sunyi.

“Berdasarkan pertuduhan yang telah dibaca dan siasatan yang terperinci telah dijalankan…. UBAIDULLAH!” Umar bersuara.

Hati para hadirin begitu gemetar menunggu keputusan Saidina Umar.

“UBAIDULLAH bin Umar! Kamu didapati BERSALAH kerana telah BERZINA dengan seorang wanita Yahudi dalam keadaan tidak sedar pada tempoh sebulan yang lalu. Oleh itu, mahkamah dengan ini memutuskan bahawa Ubaidullah dihukum sebat sebanyak 100 kali di hadapan khalayak ramai berdasarkan dalil dalam Surah An-Nur ayat 2:

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap orang dari keduanya seratus kali dera dan janganlah belas kasihan kepada (terhadap) keduanya mencegah kamu (menyebabkan kamu susah) untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”

Mahkamah riuh rendah dengan pekikan orang Islam yang membantah keputusan Saidina Umar yang pada pandangan mereka kejam kerana tidak mempertahankan anaknya.

Tetapi lain pula halnya yang berlaku kepada orang-orang arab kafir dan Yahudi. Mereka semua terdiam dan tidak sangka dengan perkara yang baru sahaja terjadi. Sehinggakan beberapa orang kafir dan Yahudi memasuki kawasan mahkamah menuju ke arah Umar dan meminta Saidina Umar mengislamkan mereka kerana telah melihat keberanian dan ketegasan Saidina Umar melaksanakan hukuman Allah terhadap anaknya sendiri. Dan kebanyakan orang yang diminta untuk diIslamkan itu ialah orang yang merancang untuk memabukkan Ubaidullah dan menyebabkan Ubaidullah berzina.

  • Mengikut kajian saintifik, hukuman sebat sebanyak 100 kali yang dilaksanakan oleh Islam ini begitu relevan. Kerana setiap sebatan yang terkena kepada tubuh pesalah akan memecahkan salur-salur darah yang terdapat di bahagian belakang tubuh pesalah. Apabila seseorang itu berzina, terdapat satu penyakit yang akan memasuki tubuh penzina melalui salur darah. Oleh itu, apabila salur darah tersebut pecah, maka bahan yang membawa penyakit itu akan mengalir bersama darah yang keluar dari tubuh penzina itu. Jadi Insya Allah penzina itu akan terselamat dari penyakit yang berbahaya.

Walaubagaimanapun, hukuman tetap hukuman.

* * * * *

Saidina Umar memerintahkan seorang sahabat untuk melaksanakan hukuman sebatan tersebut. Tetapi sahabat itu tidak sanggup melaksanakan hukuman sebatan itu. Lalu, Saidina Umar memerintahkan sahabat-sahabat yang lain untuk melaksanakan hukuman tersebut, tetapi mereka juga tidak sanggup melakukannya.

“Wahai Umar, kami tidak sanggup melaksanakan hukuman terhadap anakmu Ubaidullah! Apabila kami tiba di masjid untuk solat Fardhu, kami melihat Ubaidullah telah lama berada di Masjid membaca Al-Quran. Apabila selesai bersolat, kami semua pulang mengerjakan urusan masing-masing tetapi Ubaidullah masih berada di masjid menghabiskan bacaan Qurannya. Apabila sesuatu perkara yang baik, anakmulah orang yang paling bersemangat melakukannya. Wahai Umar, kami tidak sanggup melaksanakan hukuman tersebut kepada anakmu.”

Nampaknya tiada seorang sahabat pun yang mampu melaksanakan hukuman tersebut. Oleh sebab itu, Umar melihat hanya dirinyalah sahaja yang tinggal. Saidina Umar pun melaksanakan hukuman tersebut sebagai seorang hakim.

“Tidak mengapalah ayah, laksanakanlah hukuman Allah itu. Anakanda rela dihukum” Ubaidullah bersuara.

Umar memerintahkan para sahabat meletakkan tubuh Ubaidullah berhampiran dengan sebuah tiang dan mengarahkan agar tangan Ubaidullah diikat.

“Wahai ayah, mengapa tanganku harus diikat? Adakah ayah bimbang anakanda akan melarikan diri? Ayah usahlah bimbang anakanda telah merelakan diri anakanda untuk dihukum” kata Ubadullah.

“Wahai Ubaidullah, tujuan ayah hendak mengikat tangan anakanda ialah kerana ayah takut-takut jikalau anakanda terjatuh dan ayahanda pula yang akan dikenakan hukuman” balas Saidina Umar.

  • Dalam Islam hukuman itu tidak boleh dijalankan dengan berlebih-lebihan dan zalim seperti dalam menghukum penzina yang belum berkahwin, penghukum tidak boleh berlaku zalim seperti sengaja menyebabkan pesalah itu terjatuh dan secara tidak langsung menambahkan kesakitan pada tubuh pesalah. Penghukum juga tidak boleh memukul pesalah tertumpu di satu tempat sahaja sebaliknya hendaklah dipukul berturutan dari bahagian atas tubuh badan di belakang hinggalah kebahagian bawah dan tidak boleh memukul di tempat-tempat yang boleh memudaratkan pesalah seperti di bahagian buah pinggang dan bahagian kemaluan.

Maka hukuman pun dijalankan di hadapan khalayak penduduk Madinah...

Saidina Umar menjalankan hukuman tersebut dengan cermat. Beliau mengira setiap pukulan satu persatu dan melaksanakan dari bahagian atas hinggalah bahagian bawah sepertimana yang disyariatkan oleh Rasulullah s.a.w.

* * * * *

Selepas pukulan yang ke-80, Ubaidullah bersuara: “Wahai ayah, anakanda berasa lapar dan haus.”

Saidina Umar meletakkan alat penyebat itu dan pergi mengambil makanan. Selepas itu, Saidina menyuapkan makanan ke mulut anaknya dengan penuh belas kasihan sebagai seorang ayah yang menyayangi anaknya.

Ketika menyuapkan makanan ke mulut anaknya, Saidina Umar melihat beberapa titisan keringat yang bercahaya mengalir turun dari dahi anaknya.

“Wahai anakku, sudah lama ku tidak melihat titisan-titisan peluh yang begitu bersinar-sinar dan bercahaya sepertimana yang terpancar dari titisan-titisan peluhmu itu. Titisan peluh seperti ini merupakan titisan peluh yang ku selalu lihat terpancar dari titisan peluh Rasulullah s.a.w ketika hayatnya. Wahai anakku, jika kamu meninggal dunia, sampaikanlah salamku kepada Rasulullah s.a.w. Khabarkanlah kepada Baginda, ayah telah melaksanakan hukuman Allah” kata Saidina Umar.

“Baiklah ayahku” balas Ubaidullah

Setelah selesai, hukuman diteruskan.

Apabila sudah sebatan kali ke-90, Ubaidullah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Namun begitu, Saidina Umar tetap meneruskan hukumah tersebut.

“Umar! Sudahlah Umar! Ubaidullah sudah tiada!” teriak beberapa orang sahabat.

“Tidak wahai sahabatku, hutang dengan Allah ini mesti dijelaskan walau apa cara sekalipun” balas Umar.

Saidina Umar meneruskan hukuman tersebut di atas jasad Ubaidullah sehinggalah selesai. Selepas selesai, Saidina Umar membuka ikatan di tangan Ubaidullah dan memeluknya. Jenazah Ubaidullah diuruskan sendiri oleh Saidina Umar.

Menjelang malam, Saidina Umar bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa Baginda telah menerima kiriman salam yang dikhabarkan oleh anak beliau Ubaidullah dan menyatakan bahawa tindakan Saidina Umar itu benar dan Ubaidullah sedang berbahagia bersama Rasulullah s.a.w.

Saidina Umar berasa senang hati dan lega kerana apabila ingin menjalankan sesuatu hukuman, beliau lebih sanggup melepaskan orang yang bersalah untuk dihukum daripada orang yang tidak bersalah dihukum.

WaAlllahua’lam...

Sumber : http://realitihidupku.wordpress.com

Salam mesra, salam sayang

Salam ukhwah, salam perjuangan.


Akan adakah lagi kepimpinan sepertimana yang dicontohkan oleh Saidina Umar...?


1 comment:

Rahman, N.A. said...

Salam. Saya nak brkongsi maklumat yang terdapat pendapat pengkaji hadis yang menyatakan kisah tersebut adalah palsu yang direka-reka oleh golongan syiah.

Kisah tersebut seolah-olah mahu menunjukkan Khalifah Umar seorang yang tegas dalam menegakkan hukum syariat tetapi ada maksud lain yang tersirat. Seorang khalifah hebat yang dapat memimpin umat Islam tidak dapat mendidik anaknya sendiri dan tiada hukum hudud yang menyuruh hukuman sebat sampai mati. Untuk lebih lanjut sila baca artikel oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff di sini:

http://www.darulkautsar.net/print.php?page=&ArticleID=183

Semoga beroleh pencerahan mengenainya dan dapat sebarkan kepada tuan punya asal kisah tersebut.